Kerjaya politik José Ramos-Horta

Horta melibatkan diri secara aktif dalam perkembangan politik di Timor Portugis, dan ini mengakibatkan buangannya ke Afrika Timur Portugis selama dua tahun antara 1970-71. Buangan merupakan suatu tradisi dalam keluarga, dengan datuknya dibuang negeri dari Portugal ke Kepulauan Azores, kemudian ke Teluk Verde, Guinea Portugis, dan akhirnya ke Timor Portugis; serupa juga dengan ayahnya yang dibuang negeri ke Timor Leste ketika zaman diktator Salazar.

Seorang yang sederhana pandangan politiknya dalam pimpinan nasionalis Timor, Horta dilantik sebagai Menteri Luar Negeri dalam kerajaan "Republik Demokratik Timor Timur" yang diisytiharkan oleh parti-parti penyokong kemerdekaan pada November 1975. Ketika dilantik sebagai menteri, Horta hanya berumur 25 tahun.

Tiga hari sebelum tentera Indonesia menyerang Timor Timur, Horta bertolak untuk meminta bantuan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau tiba di New York untuk menyampaikan ucapannya kepada Majlis Keselamatan PBB dan mendesak majlis tersebut untuk mengambil tindakan terhadap serangan tentera Indonesia yang mengakibatkan melebihi 200,000 kematian orang Timor Timur antara 1976 dan 1981. Horta adalah Wakil Tetap Fretilin kepada PBB untuk sepuluh tahun yang berikut.

Pada tahun 1993, ketika Hadiah Rafto dianugerahkan kepada rakyat Timor Timur, Horta, sebagai Menteri Luar Negeri dalam buangan, mewakili negaranya dalam upacara penyampaian hadiah itu.

Pada Disember 1996, José Ramos Horta berkongsi Hadiah Keamanan Nobel dengan teman senegerinya, Biskop Carlos Filipe Ximenes Belo. Jawatankuasa Nobel memilih untuk memberi penghormatan kepada kedua-dua tokoh ini kerana "usaha-usaha mereka yang berterusan untuk menghalang penindasan terhadap segolongan orang kecil", dan mengharapkan bahawa "anugerah ini akan mendorong usaha-usaha untuk mencapai suatu penyelesaian diplomatik terhadap pertempuran di Timor Timur, berdasarkan hak rakyat untuk penentuan diri". Jawatankuasa Nobel telah menganggap Horta sebagai "jurucakap antarabangsa yang terutama demi Timor Timur sejak tahun 1975".[1]

Pada 3 Jun 2006, Horta menambah jawatan Pemangku Menteri Pertahanan kepada portfolionya sebagai Menteri Luar Negeri, selepas pelewatan jawatan menteri dahulu. [2] Pada 25 Jun 2006, beliau meletakkan kedua-dua jawatan dan mengumumkan bahawa "Saya tidak ingin mempunyai sebarang perkaitan dengan kerajaan kini atau mana-mana satu kerajaan yang melibatkan Mr. Alkatiri." [3] Perdana Menteri Alkatiri telah menghadapi tekanan untuk meletakkan jawatannya sebagai ganti untuk Presiden Xanana Gusmão, tetapi dalam mesyuarat 25 Jun, pemimpin-pemimpin parti Fretilin bersetuju untuk mengekalkan Alkatiri sebagai Perdana Menteri; Horta meletakkan jawatan dengan serta merta menyusul keputusan ini. [4] Menteri Luar Negeri Australia Alexander Downer menyatakan kekecewaan peribadinya terhadap tindakan Horta. [5] Menyusul peletakan jawatan Mari Alkatiri pada 26 Jun, Horta menarik balik peletakan jawatannya untuk bertanding jawatan perdana menteri dan menyandang jawatan ini buat sementara sehingga pewaris kepada Alkatiri dapat dipilih. [6] Pada 8 Julai 2006, Presiden Gusmão melantik Horta sebagai Perdana Menteri. [7] Horta mengangkat sumpah pada 10 Julai 2006.

Dalam temu ramah bersama dengan Al Jazeera yang disiarkan pada 22 Februari 2007, Ramos Horta menyatakan yang dia akan bertanding bagi merebut jawatan presiden dalam Pilihan Raya Umum Timor Leste 2007.[8] Pada 25 Februari 2007, Ramos Horta secara rasminya mengumumkan pencalonannya. Dia menerima sokongan daripada Gusmão, yang tidak akan bertanding.[9]

Dalam pertandingan pusingan pertama pilihan raya terbabit yang diadakan pada 9 April, Ramos Horta mendapat tempat kedua dengan 21.81% undi; dia dan calon FRETILIN, Francisco Guterres, yang mendapat tempat pertama, menyertai pertandingan pusingan kedua pilihan raya pada bulan Mei.[10] Ramos-Horta menang dengan mendapat 69% undi keseluruhan.[11]

Rujukan

WikiPedia: José Ramos-Horta http://www.news.com.au/story/0,23599,21763024-1702... http://www.smh.com.au/news/world/ramos-horta-resig... http://www.theage.com.au/news/world/alkatiri-to-re... http://www.theage.com.au/news/world/horta-vows-to-... http://www.abc.net.au/am/content/2006/s1671599.htm http://www.abc.net.au/news/newsitems/200607/s16818... http://english.people.com.cn/200705/11/eng20070511... http://seattletimes.nwsource.com/html/nationworld/... http://za.today.reuters.com/news/newsArticle.aspx?... http://chapter15.wordpress.com